Imam Ghazali (Ihya’ Ulumuddin):
IMAN itu terdiri dari dua bahagian. Setengahnya adalah kesabaran dan
setengahnya lagi adalah rasa syukur, sesuai dengan yang disebutkan dalam
kata-kata dan atsar-atsar. Adapun kesabaran, Allah SWT telah berfirman memuji sifat itu.
“Kami telah menjadikan mereka itu sebagai pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar.” (As-Sajdah: 24)
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan telah sempurnalah perkataan Tuhan-mu yang baik (sebagai janji) untuk Bani Israel disebabkan kesabaran mereka.” (Al-A’raf: 137)
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar.” (An-Nahl: 96)
Nabi SAW ditanya tentang iman, maka baginda menjawab, “Kesabaran dan suka menolong.” Baginda bersabda: “Kesabaran itu adalah harta terpendam di syurga.”
HAKIKAT KESABARAN
Kesabaran terdiri dari pengetahuan, keadaan dan amal. Pengetahuan di
dalamnya seperti pohon, keadaan seperti ranting-ranting, dan amal
seperti buah. Maka engkau ketahui bahawa maslahat keagamaan terdapat
dalam kesabaran. Akibatnya, timbul kekuatan dan dorongan untuk
melakukan kesabaran.
Hal itu dilakukan terhadap ibadah atas sabar dari melampiaskan
syahwat. Dalam semua keadaan itu memerlukan kesabaran hingga tidak
berlebih-lebihan dalam melakukan perbuatan-perbuatan yang mubah.
Adapun kesabaran dalam ibadah hendaklah diketahui bahawa seseorang
bersabar beberapa hari dan akan bahagia selama-lamanya sebagai
imbalannya. Ia memerlukan kesabaran untuk tidak menyiakan dan merosaknya
dengan riya’.
Kesabaran terbesar adalah sabar dalam menahan diri dari melampiaskan
syahwat dan berlarut-larut dalam melakukannya, dan juga seseorang harus
sabar bila diganggu oleh seseorang dengan perkataan atau perbuatan.
Seorang sahabat Nabi SAW berkata: “Kami tidak menganggap iman seseorang sebagai iman bila ia tidak sabar di kala menghadapi gangguan.”
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Kami sungguh-sungguh
akan bersabar terhadap gangguan-gangguan yang kamu lakukan kepada kami.
Dan hanya kepada Allah sajalah hendaknya orang-orang bertawakkal.” (Ibrahim: 12)
Kesabaran ini kadangkala dilakukan atas perbuatan itu dengan
menahannya dan kadangkala sabar dari pembalasannya. Kedua hal itu
menunjukkkan kesempurnaan iman.
Jenis yang lain adalah sesuatu yang menyerang tanpa disengaja,
seperti musibah berupa penyakit, hilangnya penglihatan, kelumpuhan
anggota badan, dan kematian orang yang dicintai. Ibnu Abbas ra berkata: “Kesabaran
dalam Al-Quran ada tiga jenis, iaitu kesabaran untuk menunaikan
kewajipan-kewajipan kerana Allah SWT dan ia mempunyai 300 darjat,
kesabaran untuk tidak melanggar larangan-larangan Allah SWT dan ia
mempunyai 600 darjat, dan kesabaran dalam menghadapi musibah pada kali
pertama dan ia mempunyai 900 darjat.”
Kesabaran yang bagus itu ialah yang tidak diketahui dari penderita
musibah, dan tidak mungkin mencapai hal ini kecuali dengan latihan yang
lama dalam masa yang lama.
Wallahu a’lam.
Islam galakkan tangisan syukur, kesal
MANUSIA sebagai
makhluk ciptaan Allah mempunyai pelbagai bentuk sifat dan tabiat yang
menjadi keistimewaan dan kelebihan yang Allah jadikan. Antaranya
termasuk berkaitan dengan emosi seperti perasaan gembira, sedih, kecewa
dan sebagainya.
Perasaan sedih sering kali timbul
akibat datangnya gangguan emosi terhadap sesuatu perkara. Apabila
keadaan ini berlaku, manusia dengan mudah menitiskan air mata atau
dengan kata lain, menangis. Sesetengah daripada kita beranggapan,
apabila seseorang itu menangis, ia satu perbuatan menjatuhkan maruah dan
menunjukkan kelemahan diri sendiri. Anggapan sebegini sebenarnya tidak
tepat kerana ajaran Islam sendiri menentukan jenis tangisan yang
dilarang dan dibenarkan agama.
Antara jenis tangisan yang dibenarkan malah digalakkan dalam ajaran Islam termasuk:
- Ketika melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah.
Orang beriman dan bertakwa akan sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakan Allah kepadanya. Golongan ini sama sekali tidak pernah mengeluh, malah sentiasa reda dengan apa mereka terima. Kita dapati orang sebegini ada kalanya menitiskan air mata apabila menerima rahmat dan nikmat itu.
- Kerana menyesali perbuatan dan dosa dilakukan.
Tangisan penyesalan biasanya terjadi apabila seseorang yang melakukan dosa, menyedari dan menyesali perbuatannya dengan bersungguh-sungguh. Ekoran daripada penyesalan itu, maka timbul rasa sedih mendalam yang akhirnya akan menitiskan air mata.
- Apabila bertambah keimanan kepada Allah.
Iman tertanam dalam hati akan terus subur dan mekar apabila disirami dengan ayat al-Quran dibaca dengan penuh penghayatan sehingga boleh menyebabkan seseorang itu menitiskan air mata.
- Timbul dari rasa khusyuk dan tawaduk
Tangisan seperti ini boleh terjadi apabila seseorang itu khusyuk dalam beribadat. Air mata menitis kerana menyedari betapa diri begitu kerdil ketika berhadapan dengan penciptaNya.
- Bimbang terputusnya rahmat Allah.
Suatu hal yang menyedihkan hati dan amat dibimbangi oleh orang-orang yang beriman ialah terputusnya kebajikan dan rahmat dari Allah. Apabila keadaan ini berlaku, ia nya boleh meroboh suasana hati dan perasaan sehingga menjadi sedih dan terharu.
- Apabila terselamat dari kesesatan dan menemui kebenaran.Ada kala air mata seseorang itu akan menitis apabila ditunjukkan oleh Allah SWT jalan yang benar setelah sekian lama hanyut dalam kelalaian atau kesesatan. Bagi yang berada dalam situasi sedemikian, akan terus menangis dan tangisannya bukan kerana merasa sedih tetapi kerana terlalu gembira dengan hidayah yang diterima itu.
Hikmah berdiam diriMANUSIA berbicara setiap masa. Bicara yang baik akan membawa keselamatan dan kebaikan kepada manusia. Jika bicara tidak mengikut adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Didunia akan dibenci oleh manusia lain manakala di akhirat bicara yang menyakiti hati orang lain akan menyebabkan kita terseksa kekal abadi di dalam neraka Allah SWT.Bagi mereka yang beriman, lidah yang dikurniakan oleh Allah itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah. Oleh itu, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia.
1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah.
2. Perhiasan tanpa berhias.
3. Kehebatan tanpa kerajaan.
4. Benteng tanpa pagar.
5. Kekayaan tanpa meminta maaf kepada orang.
6. Istirehat bagi kedua malaikat pencatat amal.
7. Menutupi segala aib.
“Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya.” (Riwayat Abu Naim)“Barangsiapa yang beriman kepada Alah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat Bukhari & Muslim)“Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya.” (Riwayat At-Tarmizi)
* Banyak diam tidak semestinya bodoh, banyak cakap tidak semestinya cerdik, kerana kecerdikan itu buah fikiran, orang cerdik yang pendiam lebih baik dari orang bodoh yang banyak cakap.* Menasihati orang yang bersalah, tidak salah. Yang salah memikirkan kesalahan orang.* Kalau orang menghina kita, bukan kita terhina, yang sebenarnya orang itu menghina dirinya sendiri.Manusia tidak akan dapat mengalahkan syaitan kecuali dengan diam. Jalan yang terbaik ialah diam kalau kita tidak dapat bercakap kearah perkara-perkara yang baik. Bicara yang baik adalah lambang hati yang baik dan bersih yang bergantung kepada kekuatan iman pada diri manusia.Menolak takdir bawa kepada kekufuranSESEORANG meminta kepada Allah hidupnya berkat dan selamat, lalu Allah memilih untuknya takdir yang terbaik. Tetapi dia marah dan enggan menerima takdir Allah itu, dia berkata: “Mengapa Tuhan memberiku harta yang sedikit sedangkan saudaraku yang lain kaya-raya? Tuhan tidak adil!”Na’uzubillah.Sepasang suami isteri lama berkahwin, berbelas tahun menanti kehadiran anak. Sedangkan jiran mereka mempunyai sembilan anak perempuan. Akhirnya, mereka pun dikurniakan seorang bayi perempuan yang comel. Ketentuan Allah tiba, bayi mereka meninggal kerana sakit kuat. Ayah memandang langit mencari jawapan atas takdir Tuhan, dia berkata: “Mengapa tidak Engkau ambil anak mereka yang ramai itu, malah anak kami yang seorang juga Engkau mahu, di mana keadilan-Mu ya Tuhan?”Na’uzubillah.
Membenci maksudnya marah, tidak suka, menolak, menyatakan tidak puas hati dan yang paling ringan ialah mengeluh tanda tidak selesa. Sebaik-baik orang yang bercinta ialah dia redha dengan perbuatan kekasihnya. Apakah perbuatan Allah semuanya baik untuk makhluk-Nya? Ya! Sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya melainkan mereka memilih kezaliman itu sendiri. Ada hikmah di sebalik musibah dan mesti ada kebaikan yang masih tersembunyi bagi mereka yang reda dan sabar. Segala takdir manusia itu berada pada ketentuan ilmu Allah, tiada seorang hamba mengetahui rahsia takdir Allah.Kisah di dalam surah al-Kahfi banyak memberi pengajaran kepada diri kita. Kisah ilmu Allah yang dikurniakan kepada Khidr, beliau memiliki pengetahuan yang luas tentang qada dan qadar Allah kepada makhluknya. Menurut hadis yang diriwayatkan al-Imam al-Bukhari yang mafhumnya: “Ketika Nabi Musa berucap kepada kaumnya, seorang bertanya: Adakah sesiapa di muka bumi ini yang lebih ilmunya daripada tuan? Nabi Musa menjawab: “Tidak ada.” Lalu ditegur Allah: “Ada seorang hamba-Ku yang lebih ilmunya daripada kamu.”Kemudian Nabi Musa menghadap Khidr untuk berguru kepadanya. Dalam perjalanan mereka berdua berlaku beberapa perkara pelik dilakukan oleh Khidr. Yang pertama, beliau membocorkan perahu milik orang miskin, kedua membunuh seorang pemuda dan ketiga membangun tembok yang hampir runtuh tanpa meminta upah padahal di bandar itu penduduknya amat bengis terhadap mereka berdua.Perbuatan Khidr jika dilihat dengan mata kasar amat menggusarkan hati Nabi Musa. Beliau sedih dan terkejut menyaksikan perbuatan Khidr itu. Musa menegur Khidr supaya dia menerangkan hikmah di sebalik peristiwa itu. Khidr berasa sampailah waktu perpisahannya dengan Musa.Dia berkata melalui firman Allah bermaksud: “Adapun perahu itu, ia adalah kepunyaan orang miskin bekerja di laut. Oleh itu, aku bocor dengan tujuan mencacatkan. Kerana di belakang mereka ada seorang raja mahu merampas setiap perahu yang tidak cacat.Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan zalim dan kufur.Oleh itu, kami berharap supaya Tuhan menggantikan bagi mereka anak yang lebih baik darinya, yang bersih jiwanya dan mesra kasih sayangnya. Adapun tembok itu, ia dimiliki oleh dua orang anak yatim di bandar itu yang di bawahnya ada harta terpendam dan bapa mereka pula orang yang soleh.Maka, Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai suatu rahmat dari Tuhan, dan aku tidak melakukannya menurut pemikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau (Musa) tidak dapat bersabar mengenainya.” Surah al-Kahfi: Ayat 79-82.Demikianlah rahsia ilmu Allah yang maha luas dan maha dalam. Tiada seorang makhluk pun boleh memahami semua dengan tepat. Qada dan qadar Allah itu semuanya baik belaka. Itulah pilihan Allah untuk kita.Hasan al-Basri pernah berkata: Wahai anak Adam, Musa menegur Khidr sebanyak tiga kali, sehingga Khidr berkata: “Inilah saat perpisahanku denganmu.” Itu yang dilakukan oleh Khidr kepada Musa, maka bagaimanakah dengan Tuhanmu yang kamu menentangnya berulang kali dalam sehari? Apakah kamu tidak takut Tuhan akan berkata: “Inilah saat perpisahan-Ku denganmu.?”Sikap yang terbaik adalah akur dan reda atas apa saja ketentuan. Namun, jangan bersikap menyerah kepada takdir tanpa berikhtiar kerana itu adalah penipuan yang berbahaya. Syarat redha mestilah dengan ikhtiar. Hal ini pernah terjadi pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab. Beliau dan tenteranya hendak memasuki suatu bandar di Syria. Namun, tertahan oleh wabak menular yang menyerang bandar itu. Panglima tenteranya, Saidina Abu Ubaidah berkata: Apakah tuan lari dari qadak Allah? Umar menjawab: “Ya, kita lari dari qada Allah kepada qadar Allah juga.”Makna qada adalah ketentuan yang terjadi dan qadar adalah ketentuan yang belum terjadi. Untuk itu, ikhtiar adalah wajib bagi mereka yang mengaku reda atas ketentuan Allah. Dan jangan sekali-kali memilih atas apa Allah pilihkan untuk hidup kita. Seperti sabda baginda bermaksud:“Apabila kamu ditimpa musibah janganlah kamu katakan: “Sungguh seandainya saya berbuat begini, nescaya akan jadi begini dan begini, tetapi katakanlah: Ini semua ketentuan Allah dan apa yang Dia kehendaki pasti terjadi, sesungguhnya ungkapan ’seandainya’ itu membuka peluang bagi perbuatan syaitan.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Kesedihan tanpa kawalan punca kehancuran insanKEHILANGAN anggota keluarga adalah satu daripada dugaan Tuhan terhadap hamba-Nya untuk menguji tahap ketakwaan dan kesabaran.
SATU daripada lintasan hati yang boleh mempengaruhi pemikiran dan perasaan manusia ialah ‘kesedihan’. Jika tidak dapat dikawal dan dipujuk dengan sandaran wahyu, boleh jadi kesedihan itu menjadi punca kehancuran seseorang.
Ketika dunia mengalami krisis ekonomi global, tekanan hidup bukan hanya dirasai golongan miskin bahkan hartawan juga ikut terkena kesan kejatuhan raksasa kapitalis dunia. Orang mukmin tidak kira miskin atau kaya ikut sama merasai tekanan akibat situasi politik dan ekonomi yang membahayakan keselamatan harta serta jiwa mereka.
Tetapi, hanya mereka yang benar-benar teguh imannya boleh memenangi peperangan ini. Mereka yang berpegang dengan semangat reda atas putaran takdir yang berada dalam genggaman kuasa Allah. Mereka sentiasa mengingati pesan Allah yang dititipkan melalui al-Quran supaya orang mukmin reda dan berani menghadapi suratan kehidupan.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar. Iaitu orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)
Memang mustahil untuk tidak bersedih ketika diuji; kehilangan harta atau orang dikasihi, jawatan diidamkan atau kredibiliti diconteng dengan tinta fitnah tangan mereka yang tidak bertanggungjawab. Tetapi, begitulah sunnah kehidupan yang tidak selamanya bahagia dan gembira, mesti ada kalanya ditimpa sedih dan sengsara.
Yang penting ialah kebijaksanaan kita memanfaatkan kesedihan itu menjadi potensi yang boleh melonjakkan kekuatan karakter mukmin sejati. Bukannya menjadikan kesedihan itu punca segala kehancuran atau pintu masuk syaitan ke dalam hati nurani.
Jika kita menyelami suara hati yang merintih, apakah keinginannya ketika tenggelam dalam kesedihan? Hati yang diserang sengatan syaitan akan berkata: “Malangnya nasibku, jika aku begini tidak akan jadi begini, aku sudah ditakdirkan menerima keburukan.”
Hati yang sentiasa berdampingan dengan Tuhannya tidak mahu merintih dan mempersoalkan ketentuan Kekasihnya Yang Maha Rahman. Dia berkata: “Beruntungnya aku kerana masih ramai orang yang lebih teruk keadaannya dibandingkan diri dan keluargaku, mesti ada rahsia yang disimpan Allah demi untuk kebaikan agamaku, tidak patut menyalahkan sesiapa kerana itu hanya alat bukan sebab, semua takdir pilihan Allah tiada yang buruk dan jahat, semuanya baik bagi hamba-Nya yang memahami dengan hati yang beriman.”
Untuk mendapatkan hati sebening mata air firdaus yang memandang segala ujian dengan pandangan iman, selayaknya kita mempelajari bahaya kesedihan dan kesannya dalam keperibadian kita.
Permulaan untuk mencegah hati menjadi kotor dan lalai ialah menjaga anggota badan:
- Pertama, kawal mulut daripada mengucapkan perkataan tidak baik berupa fitnah, mencela, mencaci dan mengumpat.
- Kedua, elak mata daripada melihat perkara haram yang boleh menggelapkan hati.
- Ketiga, berhati-hati dalam soal memilih makanan dan minuman agar terhindar daripada sumber dan jenis haram.
- Keempat, menghalang kaki daripada berjalan menuju ke tempat yang berlangsung maksiat.
- Kelima ialah jauhkan tangan daripada melakukan atau mengambil sesuatu yang haram.
- Dan, keenamnya, jagalah kemaluan agar tidak melakukan zina.
No comments:
Post a Comment