Wednesday, June 20, 2012

Wanita Solehah~

 Wanita Solehah Lebih Baik Dari Bidadari Syurga

Wanita solehah tidak boleh sembarangan mencintai lelaki. Lelaki yang paling wajar dicintai oleh wanita solehah ialah Nabi Muhammad SAW. Ini kerana Nabi Muhammad SAW adalah pembela nasib kaum wanita. Baginda telah mengangkat martabat kaum wanita daripada diperlakukan dengan kehinaan pada zaman jahiliyah, khususnya oleh kaum lelaki.

Ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW juga berjaya menyempurnakan budi pekerti kaum lelaki. Ini membawa keuntungan kepada kaum wanita kerana mereka mendapat kebebasan dalam kawalan dan perlindungan keselamatan oleh kaum lelaki. Iaitu dengan mengikuti ajaran Nabi Muhammad SAW menjadikan bapa atau suami mereka berbuat baik dan bertanggungjawab ke atas keluarganya. Demikian juga dengan kedatangan Rasulullah SAW telah menjadikan anak-anak tidak lupa untuk berbakti kepada ibu mereka, cthnya seperti Uwais Al-Qarni.




Salah satu tanda kasih Baginda SAW terhadap kaum wanita ialah dengan berpesan kepada kaum lelaki agar berbuat baik kepada wanita, khususnya ahli keluarga mereka. Rasulullah SAW sendiri menjadikan diri dan keluarga baginda suri teladan kepada kaum lelaki untuk bagaimana berbuat baik dan memuliakan kaum wanita.

Rasulullah SAW bersabda,
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Lagi sabda Rasulullah SAW,
“Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya; dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi.” (Riwayat Abu ‘Asakir)
Tapi betul ke wanita solehah itu lebih baik daripada bidadari syurga?
Daripada Umm Salamah, isteri Nabi SAW, katanya(di dalam sebuah hadis yang panjang):
Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?”
Baginda menjawab, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.”
Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?”
Baginda menjawab, “Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih,berpakaian hijau dan berperhiasan kuning….(hingga akhir hadis)” (riwayat al-Tabrani)
Terkejut bila membaca hadis ni dan ingin berkongsi bersama rakan-rakan lain. Sungguh tinggi darjat wanita solehah, sehingga dikatakan lebih baik daripada bidadari syurga. Semoga hadis ini menjadi inspirasi bagi kita semua dalam memperbaiki diri agar menjadi lebih baik daripada bidadari syurga. InsyaAllah..
Tapi, bagaimana yang dikatakan wanita solehah itu?

Ikuti kisah berikut, semoga kita sama-sama beroleh pengajaran.
Seorang gadis kecil bertanya ayahnya “ayah ceritakanlah padaku perihal muslimah sejati?”
Si ayah pun menjawab “anakku,seorang muslimah sejati bukan dilihat dari kecantikan dan keayuan wajahnya semata-mata.wajahnya hanyalah satu peranan yang amat kecil,tetapi muslimah sejati dilihat dari kecantikan dan ketulusan hatinya yang tersembunyi.itulah yang terbaik”
Si ayah terus menyambung

“muslimah sejati juga tidak dilihat dari bentuk tubuh badannya yang mempersona,tetapi dilihat dari sejauh mana ia menutupi bentuk tubuhnya yang mempersona itu.muslimah sejati bukanlah dilihat dari sebanyak mana kebaikan yang diberikannya ,tetapi dari keikhlasan ketika ia memberikan segala kebaikan itu.muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa indah lantunan suaranya tetapi dilihat dari apa yang sering mulutnya bicarakan.muslimah sejati bukan dilihat dari keahliannya berbahasa,tetapi dilihat dari bagaimana caranya ia berbicara dan berhujah kebenaran”
 
Berdasarkan ayat 31,surah An Nurr,Abdullah ibn abbas dan lain-lainya berpendapat.Seseorang wanita islam hanya boleh mendedahkan wajah,dua tapak tangan dan cincinnya di hadapan lelaki yang bukan mahram(As syeikh said hawa di dalam kitabnya Al Asas fit Tasir)
“Janganlah perempuan -perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga menghairahkan orang yang ada perasaan dalam hatinya,tetapi ucapkanlah perkataan yang baik-baik”(surah Al Ahzab:32)
“lantas apa lagi ayah?”sahut puteri kecil terus ingin tahu.
“ketahuilah muslimah sejati bukan dilihat dari keberaniannya dalam berpakaian grand tetapi dilihat dari sejauh mana ia berani mempertahankan kehormatannya melalui apa yang dipakainya. Muslimah sejati bukan dilihat dari kekhuwatirannya digoda orang di tepi jalanan tetapi dilihat dari kekhuwatirannya dirinyalah yang mengundang orang tergoda.Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa banyak dan besarnya ujian yang ia jalani tetapi dilihat dari sejauh mana ia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada TUHAN nya,dan ia sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang diberi”

“dan ingatlah anakku muslimah sejati bukan dilihat dari sifat mesranya dalam bergaul tetapi dilihat dari sejauh mana ia mampu menjaga kehormatan dirinya dalam bergaul”

Setelah itu si anak bertanya “Siapakah yang memiliki criteria seperti itu ayah? Bolehkah saya menjadi sepertinya? Mampu dan layakkah saya ayah?”

Si ayah memberikan sebuah buku dan berkata “Pelajarilah mereka! Supaya kamu berjaya nanti. INSYA ALLAH kamu juga boleh menjadi muslimah sejati dan wanita yang solehah kelak, malah semua wanita boleh”
Si anak pun segera mengambil buku tersebut lalu terlihatlah sebaris perkataan berbunyi ISTERI RASULULLAH.

“Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu ,puasa di bulan ramadhan ,menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya,maka masuklah ia ke dalam syurga dari pintu-pintu yang ia kehendakinya”(riwayat Al Bazzar)


WANITA SOLEHAH

Tidak banyak syarat yang dikenakan oleh Islam untuk seseorang wanita menerima gelaran solehah, dan seterusnya menerima pahala syurga yang penuh kenikmatan dari Allah s.w.t.

Mereka hanya perlu memenuhi 2 syarat iaitu :

1. Taat kepada Allah dan RasulNya
2. Taat kepada suami

Perincian dari dua syarat di atas adalah sebagai berikut :
1. Taat kepada Allah dan RasulNya
    Bagaimana yang dikatakan taat kepada Allah s.w.t. ?
  • - Mencintai Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. melebihi dari segala-galanya.
  • - Wajib menutup aurat
  • - Tidak berhias dan berperangai seperti wanita jahiliah
  • - Tidak bermusafir atau bersama dengan lelaki dewasa kecuali ada mahram bersamanya
  • - Sering membantu lelaki dalam perkara kebenaran, kebajikan dan taqwa
  • - Berbuat baik kepada ibu & bapa
  • - Sentiasa bersedekah baik dalam keadaan susah ataupun senang
  • - Tidak berkhalwat dengan lelaki dewasa
  • - Bersikap baik terhadap tetangga


2. Taat kepada suami
  • - Memelihara kewajipan terhadap suami
  • - Sentiasa menyenangkan suami
  • - Menjaga kehormatan diri dan harta suaminya selama suami tiada di rumah
  • - Tidak bermasam muka di hadapan suami
  • - Tidak menolak ajakan suami untuk tidur
  • - Tidak keluar tanpa izin suami
  • - Tidak meninggikan suara melebihi suara suami
  • - Tidak membantah suaminya dalam kebenaran
  • - Tidak menerima tamu yang dibenci suaminya
  • - Sentiasa memelihara diri, kebersihan & kecantikannya serta rumah tangga
FAKTOR YANG MERENDAHKAN MARTABAT WANITA
Sebenarnya puncak rendahnya martabat wanita adalah dari faktor dalaman. Bukanlah faktor luaran atau yang berbentuk material sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh para pejuang hak-hak palsu wanita.

Faktor-faktor tersebut ialah:
1) Lupa mengingat Allah
Kerana terlalu sibuk dengan tugas dan kegiatan luar atau memelihara anak-anak, maka tidak hairanlah jika banyak wanita yang tidak menyedari bahawa dirinya telah lalai dari mengingat Allah. Dan saat kelalaian ini pada hakikatnya merupakan saat yang paling berbahaya bagi diri mereka, di mana syaitan akan mengarahkan hawa nafsu agar memainkan peranannya.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Jathiah, ayat 23: ertinya:
” Maka sudahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya. Dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya.”

Sabda Rasulullah s.a.w.: ertinya:
“Tidak sempurna iman seseorang dari kamu, sehingga dia merasa cenderung kepada apa yang telah aku sampaikan.”
 (Riwayat Tarmizi)
Mengingati Allah s.w.t. bukan saja dengan berzikir, tetapi termasuklah menghadiri majlis-majlis ilmu.

2) Mudah tertipu dengan keindahan dunia.
Keindahan dunia dan kemewahannya memang banyak menjebak wanita ke perangkapnya. Bukan itu saja, malahan syaitan dengan mudah memperalatkannya untuk menarik kaum lelaki agar sama-sama bergelumang dengan dosa dan noda. Tidak sedikit yang sanggup durhaka kepada Allah s.w.t. hanya kerana kenikmatan dunia yang terlalu sedikit.
Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-An’am: ertinya:
” Dan tidaklah penghidupan dunia ini melainkan permainan dan kelalaian dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa, oleh kerana itu tidakkah kamu berfikir.”

3) Mudah terpedaya dengan syahwat.
4) Lemah iman.
5) Bersikap suka menunjuk-nunjuk.

"Dunia adalah perhiasan, perhiasan dunia yang terbaik adalah 
Wanita yang solehah."

Monday, June 18, 2012

Hakikat Kesabaran~~



Imam Ghazali (Ihya’ Ulumuddin):
IMAN itu terdiri dari dua bahagian. Setengahnya adalah kesabaran dan setengahnya lagi adalah rasa syukur, sesuai dengan yang disebutkan dalam kata-kata dan atsar-atsar. Adapun kesabaran, Allah SWT telah berfirman memuji sifat itu.  

“Kami telah menjadikan mereka itu sebagai pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar.” (As-Sajdah: 24)

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan telah sempurnalah perkataan Tuhan-mu yang baik (sebagai janji) untuk Bani Israel disebabkan kesabaran mereka.” (Al-A’raf: 137)

Allah SWT berfirman yang bermaksud:  

“Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar.” (An-Nahl: 96)

Nabi SAW ditanya tentang iman, maka baginda menjawab, “Kesabaran dan suka menolong.” Baginda bersabda: “Kesabaran itu adalah harta terpendam di syurga.”

HAKIKAT KESABARAN

Kesabaran terdiri dari pengetahuan, keadaan dan amal. Pengetahuan di dalamnya seperti pohon, keadaan seperti ranting-ranting, dan amal seperti buah. Maka engkau ketahui bahawa maslahat keagamaan terdapat dalam kesabaran. Akibatnya, timbul kekuatan dan dorongan untuk melakukan kesabaran.
Hal itu dilakukan terhadap ibadah atas sabar dari melampiaskan syahwat. Dalam semua keadaan itu memerlukan kesabaran hingga tidak berlebih-lebihan dalam melakukan perbuatan-perbuatan yang mubah.
Adapun kesabaran dalam ibadah hendaklah diketahui bahawa seseorang bersabar beberapa hari dan akan bahagia selama-lamanya sebagai imbalannya. Ia memerlukan kesabaran untuk tidak menyiakan dan merosaknya dengan riya’.

Kesabaran terbesar adalah sabar dalam menahan diri dari melampiaskan syahwat dan berlarut-larut dalam melakukannya, dan juga seseorang harus sabar bila diganggu oleh seseorang dengan perkataan atau perbuatan.

Seorang sahabat Nabi SAW berkata: “Kami tidak menganggap iman seseorang sebagai iman bila ia tidak sabar di kala menghadapi gangguan.”

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Kami sungguh-sungguh akan bersabar terhadap gangguan-gangguan yang kamu lakukan kepada kami. Dan hanya kepada Allah sajalah hendaknya orang-orang bertawakkal.” (Ibrahim: 12)

Kesabaran ini kadangkala dilakukan atas perbuatan itu dengan menahannya dan kadangkala sabar dari pembalasannya. Kedua hal itu menunjukkkan kesempurnaan iman.
Jenis yang lain adalah sesuatu yang menyerang tanpa disengaja, seperti musibah berupa penyakit, hilangnya penglihatan, kelumpuhan anggota badan, dan kematian orang yang dicintai. Ibnu Abbas ra berkata: “Kesabaran dalam Al-Quran ada tiga jenis, iaitu kesabaran untuk menunaikan kewajipan-kewajipan kerana Allah SWT dan ia mempunyai 300 darjat, kesabaran untuk tidak melanggar larangan-larangan Allah SWT dan ia mempunyai 600 darjat, dan kesabaran dalam menghadapi musibah pada kali pertama dan ia mempunyai 900 darjat.”

Kesabaran yang bagus itu ialah yang tidak diketahui dari penderita musibah, dan tidak mungkin mencapai hal ini kecuali dengan latihan yang lama dalam masa yang lama.
Wallahu a’lam.


Islam galakkan tangisan syukur, kesal 
MANUSIA sebagai makhluk ciptaan Allah mempunyai pelbagai bentuk sifat dan tabiat yang menjadi keistimewaan dan kelebihan yang Allah jadikan. Antaranya termasuk berkaitan dengan emosi seperti perasaan gembira, sedih, kecewa dan sebagainya.
Perasaan sedih sering kali timbul akibat datangnya gangguan emosi terhadap sesuatu perkara. Apabila keadaan ini berlaku, manusia dengan mudah menitiskan air mata atau dengan kata lain, menangis. Sesetengah daripada kita beranggapan, apabila seseorang itu menangis, ia satu perbuatan menjatuhkan maruah dan menunjukkan kelemahan diri sendiri. Anggapan sebegini sebenarnya tidak tepat kerana ajaran Islam sendiri menentukan jenis tangisan yang dilarang dan dibenarkan agama.

Antara jenis tangisan yang dibenarkan malah digalakkan dalam ajaran Islam termasuk:
  • Ketika melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah.
    Orang beriman dan bertakwa akan sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakan Allah kepadanya. Golongan ini sama sekali tidak pernah mengeluh, malah sentiasa reda dengan apa mereka terima. Kita dapati orang sebegini ada kalanya menitiskan air mata apabila menerima rahmat dan nikmat itu.
  • Kerana menyesali perbuatan dan dosa dilakukan.
    Tangisan penyesalan biasanya terjadi apabila seseorang yang melakukan dosa, menyedari dan menyesali perbuatannya dengan bersungguh-sungguh. Ekoran daripada penyesalan itu, maka timbul rasa sedih mendalam yang akhirnya akan menitiskan air mata.
  • Apabila bertambah keimanan kepada Allah.
    Iman tertanam dalam hati akan terus subur dan mekar apabila disirami dengan ayat al-Quran dibaca dengan penuh penghayatan sehingga boleh menyebabkan seseorang itu menitiskan air mata.
  • Timbul dari rasa khusyuk dan tawaduk
    Tangisan seperti ini boleh terjadi apabila seseorang itu khusyuk dalam beribadat. Air mata menitis kerana menyedari betapa diri begitu kerdil ketika berhadapan dengan penciptaNya.
  • Bimbang terputusnya rahmat Allah.
    Suatu hal yang menyedihkan hati dan amat dibimbangi oleh orang-orang yang beriman ialah terputusnya kebajikan dan rahmat dari Allah. Apabila keadaan ini berlaku, ia nya boleh meroboh suasana hati dan perasaan sehingga menjadi sedih dan terharu.
  • Apabila terselamat dari kesesatan dan menemui kebenaran.
    Ada kala air mata seseorang itu akan menitis apabila ditunjukkan oleh Allah SWT jalan yang benar setelah sekian lama hanyut dalam kelalaian atau kesesatan. Bagi yang berada dalam situasi sedemikian, akan terus menangis dan tangisannya bukan kerana merasa sedih tetapi kerana terlalu gembira dengan hidayah yang diterima itu.


    Hikmah berdiam diri
    MANUSIA berbicara setiap masa. Bicara yang baik akan membawa keselamatan dan kebaikan kepada manusia. Jika bicara tidak mengikut adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Didunia akan dibenci oleh manusia lain manakala di akhirat bicara yang menyakiti hati orang lain akan menyebabkan kita terseksa kekal abadi di dalam neraka Allah SWT.
    Bagi mereka yang beriman, lidah yang dikurniakan oleh Allah itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah. Oleh itu, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia.

    Antara hikmah diam adalah:
    1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah.
    2. Perhiasan tanpa berhias.
    3. Kehebatan tanpa kerajaan.
    4. Benteng tanpa pagar.
    5. Kekayaan tanpa meminta maaf kepada orang.
    6. Istirehat bagi kedua malaikat pencatat amal.
    7. Menutupi segala aib.

    Hadis-hadis Rasullulah mengenai kelebihan diam yang bermaksud:
    “Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya. (Riwayat Abu Naim)
    “Barangsiapa yang beriman kepada Alah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
    “Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya.” (Riwayat At-Tarmizi)

    Madah Dari Hukama:
    * Banyak diam tidak semestinya bodoh, banyak cakap tidak semestinya cerdik, kerana kecerdikan itu buah fikiran, orang cerdik yang pendiam lebih baik dari orang bodoh yang banyak cakap.
    * Menasihati orang yang bersalah, tidak salah. Yang salah memikirkan kesalahan orang.
    * Kalau orang menghina kita, bukan kita terhina, yang sebenarnya orang itu menghina dirinya sendiri.
    Manusia tidak akan dapat mengalahkan syaitan kecuali dengan diam. Jalan yang terbaik ialah diam kalau kita tidak dapat bercakap kearah perkara-perkara yang baik. Bicara yang baik adalah lambang hati yang baik dan bersih yang bergantung kepada kekuatan iman pada diri manusia.


    Menolak takdir bawa kepada kekufuran 
    SESEORANG meminta kepada Allah hidupnya berkat dan selamat, lalu Allah memilih untuknya takdir yang terbaik. Tetapi dia marah dan enggan menerima takdir Allah itu, dia berkata: “Mengapa Tuhan memberiku harta yang sedikit sedangkan saudaraku yang lain kaya-raya? Tuhan tidak adil!”
    Na’uzubillah.

    Sepasang suami isteri lama berkahwin, berbelas tahun menanti kehadiran anak. Sedangkan jiran mereka mempunyai sembilan anak perempuan. Akhirnya, mereka pun dikurniakan seorang bayi perempuan yang comel. Ketentuan Allah tiba, bayi mereka meninggal kerana sakit kuat. Ayah memandang langit mencari jawapan atas takdir Tuhan, dia berkata: “Mengapa tidak Engkau ambil anak mereka yang ramai itu, malah anak kami yang seorang juga Engkau mahu, di mana keadilan-Mu ya Tuhan?”
    Na’uzubillah.

    Membenci takdir boleh membawa kepada kekufuran.
    Membenci maksudnya marah, tidak suka, menolak, menyatakan tidak puas hati dan yang paling ringan ialah mengeluh tanda tidak selesa. Sebaik-baik orang yang bercinta ialah dia redha dengan perbuatan kekasihnya. Apakah perbuatan Allah semuanya baik untuk makhluk-Nya? Ya! Sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya melainkan mereka memilih kezaliman itu sendiri. Ada hikmah di sebalik musibah dan mesti ada kebaikan yang masih tersembunyi bagi mereka yang reda dan sabar. Segala takdir manusia itu berada pada ketentuan ilmu Allah, tiada seorang hamba mengetahui rahsia takdir Allah.

    Kisah di dalam surah al-Kahfi banyak memberi pengajaran kepada diri kita. Kisah ilmu Allah yang dikurniakan kepada Khidr, beliau memiliki pengetahuan yang luas tentang qada dan qadar Allah kepada makhluknya. Menurut hadis yang diriwayatkan al-Imam al-Bukhari yang mafhumnya: “Ketika Nabi Musa berucap kepada kaumnya, seorang bertanya: Adakah sesiapa di muka bumi ini yang lebih ilmunya daripada tuan? Nabi Musa menjawab: “Tidak ada.” Lalu ditegur Allah: “Ada seorang hamba-Ku yang lebih ilmunya daripada kamu.”

    Kemudian Nabi Musa menghadap Khidr untuk berguru kepadanya. Dalam perjalanan mereka berdua berlaku beberapa perkara pelik dilakukan oleh Khidr. Yang pertama, beliau membocorkan perahu milik orang miskin, kedua membunuh seorang pemuda dan ketiga membangun tembok yang hampir runtuh tanpa meminta upah padahal di bandar itu penduduknya amat bengis terhadap mereka berdua.

    Perbuatan Khidr jika dilihat dengan mata kasar amat menggusarkan hati Nabi Musa. Beliau sedih dan terkejut menyaksikan perbuatan Khidr itu. Musa menegur Khidr supaya dia menerangkan hikmah di sebalik peristiwa itu. Khidr berasa sampailah waktu perpisahannya dengan Musa.
    Dia berkata melalui firman Allah bermaksud: “Adapun perahu itu, ia adalah kepunyaan orang miskin bekerja di laut. Oleh itu, aku bocor dengan tujuan mencacatkan. Kerana di belakang mereka ada seorang raja mahu merampas setiap perahu yang tidak cacat. 

    Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan zalim dan kufur.
    Oleh itu, kami berharap supaya Tuhan menggantikan bagi mereka anak yang lebih baik darinya, yang bersih jiwanya dan mesra kasih sayangnya. Adapun tembok itu, ia dimiliki oleh dua orang anak yatim di bandar itu yang di bawahnya ada harta terpendam dan bapa mereka pula orang yang soleh.
    Maka, Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai suatu rahmat dari Tuhan, dan aku tidak melakukannya menurut pemikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau (Musa) tidak dapat bersabar mengenainya.” Surah al-Kahfi: Ayat 79-82.

    Demikianlah rahsia ilmu Allah yang maha luas dan maha dalam. Tiada seorang makhluk pun boleh memahami semua dengan tepat. Qada dan qadar Allah itu semuanya baik belaka. Itulah pilihan Allah untuk kita.
    Hasan al-Basri pernah berkata: Wahai anak Adam, Musa menegur Khidr sebanyak tiga kali, sehingga Khidr berkata: “Inilah saat perpisahanku denganmu.” Itu yang dilakukan oleh Khidr kepada Musa, maka bagaimanakah dengan Tuhanmu yang kamu menentangnya berulang kali dalam sehari? Apakah kamu tidak takut Tuhan akan berkata: “Inilah saat perpisahan-Ku denganmu.?”
    Sikap yang terbaik adalah akur dan reda atas apa saja ketentuan. Namun, jangan bersikap menyerah kepada takdir tanpa berikhtiar kerana itu adalah penipuan yang berbahaya. Syarat redha mestilah dengan ikhtiar. Hal ini pernah terjadi pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab. Beliau dan tenteranya hendak memasuki suatu bandar di Syria. Namun, tertahan oleh wabak menular yang menyerang bandar itu. Panglima tenteranya, Saidina Abu Ubaidah berkata: Apakah tuan lari dari qadak Allah? Umar menjawab: “Ya, kita lari dari qada Allah kepada qadar Allah juga.”

    Makna qada adalah ketentuan yang terjadi dan qadar adalah ketentuan yang belum terjadi. Untuk itu, ikhtiar adalah wajib bagi mereka yang mengaku reda atas ketentuan Allah. Dan jangan sekali-kali memilih atas apa Allah pilihkan untuk hidup kita. Seperti sabda baginda bermaksud:
    Apabila kamu ditimpa musibah janganlah kamu katakan: “Sungguh seandainya saya berbuat begini, nescaya akan jadi begini dan begini, tetapi katakanlah: Ini semua ketentuan Allah dan apa yang Dia kehendaki pasti terjadi, sesungguhnya ungkapan ’seandainya’ itu membuka peluang bagi perbuatan syaitan.” (Hadis riwayat Imam Muslim)


    Kesedihan tanpa kawalan punca kehancuran insan

    KEHILANGAN anggota keluarga adalah satu daripada dugaan Tuhan terhadap hamba-Nya untuk menguji tahap ketakwaan dan kesabaran.

    sad_man.jpg

    SATU daripada lintasan hati yang boleh mempengaruhi pemikiran dan perasaan manusia ialah ‘kesedihan’. Jika tidak dapat dikawal dan dipujuk dengan sandaran wahyu, boleh jadi kesedihan itu menjadi punca kehancuran seseorang.

    Ketika dunia mengalami krisis ekonomi global, tekanan hidup bukan hanya dirasai golongan miskin bahkan hartawan juga ikut terkena kesan kejatuhan raksasa kapitalis dunia. Orang mukmin tidak kira miskin atau kaya ikut sama merasai tekanan akibat situasi politik dan ekonomi yang membahayakan keselamatan harta serta jiwa mereka.

    Tetapi, hanya mereka yang benar-benar teguh imannya boleh memenangi peperangan ini. Mereka yang berpegang dengan semangat reda atas putaran takdir yang berada dalam genggaman kuasa Allah. Mereka sentiasa mengingati pesan Allah yang dititipkan melalui al-Quran supaya orang mukmin reda dan berani menghadapi suratan kehidupan.

    Firman Allah yang bermaksud:

    “Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar. Iaitu orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)

    Memang mustahil untuk tidak bersedih ketika diuji; kehilangan harta atau orang dikasihi, jawatan diidamkan atau kredibiliti diconteng dengan tinta fitnah tangan mereka yang tidak bertanggungjawab. Tetapi, begitulah sunnah kehidupan yang tidak selamanya bahagia dan gembira, mesti ada kalanya ditimpa sedih dan sengsara.

    Yang penting ialah kebijaksanaan kita memanfaatkan kesedihan itu menjadi potensi yang boleh melonjakkan kekuatan karakter mukmin sejati. Bukannya menjadikan kesedihan itu punca segala kehancuran atau pintu masuk syaitan ke dalam hati nurani.

    Jika kita menyelami suara hati yang merintih, apakah keinginannya ketika tenggelam dalam kesedihan? Hati yang diserang sengatan syaitan akan berkata: “Malangnya nasibku, jika aku begini tidak akan jadi begini, aku sudah ditakdirkan menerima keburukan.”

    Hati yang sentiasa berdampingan dengan Tuhannya tidak mahu merintih dan mempersoalkan ketentuan Kekasihnya Yang Maha Rahman. Dia berkata: “Beruntungnya aku kerana masih ramai orang yang lebih teruk keadaannya dibandingkan diri dan keluargaku, mesti ada rahsia yang disimpan Allah demi untuk kebaikan agamaku, tidak patut menyalahkan sesiapa kerana itu hanya alat bukan sebab, semua takdir pilihan Allah tiada yang buruk dan jahat, semuanya baik bagi hamba-Nya yang memahami dengan hati yang beriman.”

    Untuk mendapatkan hati sebening mata air firdaus yang memandang segala ujian dengan pandangan iman, selayaknya kita mempelajari bahaya kesedihan dan kesannya dalam keperibadian kita.

    Permulaan untuk mencegah hati menjadi kotor dan lalai ialah menjaga anggota badan: 
    • Pertama, kawal mulut daripada mengucapkan perkataan tidak baik berupa fitnah, mencela, mencaci dan mengumpat.
    • Kedua, elak mata daripada melihat perkara haram yang boleh menggelapkan hati.
    • Ketiga, berhati-hati dalam soal memilih makanan dan minuman agar terhindar daripada sumber dan jenis haram.
    • Keempat, menghalang kaki daripada berjalan menuju ke tempat yang berlangsung maksiat.
    • Kelima ialah jauhkan tangan daripada melakukan atau mengambil sesuatu yang haram.
    • Dan, keenamnya, jagalah kemaluan agar tidak melakukan zina.